Sunday, December 7, 2008

Raya Haji 1429 (2008) di Shah Alam

Hari ini 9 Zulhijjah 1429. Esok Hari Raya Haji. Tahun ini berlainan sedikit sebab keluarga mertuaku (ibubapa dan 3 adik isteriku) beraya di Shah Alam.

Tahun lepas kami turut beraya di Shah Alam. Kami beraya di Shah Alam kerana tahun lalu kerana ibubapa mertuaku menjalani ibadah haji, rukun Islam yang ke 5. Jadi, 2 tahun berturut-turut aku beraya di Shah Alam.

Cuma bezanya tahun ini, beraya dengan keluarga mertua di rumahku sendiri di Shah Alam. Suatu yang sangat jarang berlaku, malah inilah kali pertama ibubapa mertuaku beraya di Selangor.
Ini semua gara-gara kesilapan ketika membeli tiket keretapi tempoh hari.

Bapa mertuaku ada urusan di Bahagian Pinjaman Perumahan, Jabatan Perbendaharaan, Putrajaya. Tujuan datang ke sini untuk menyelesaikan urusan geran rumah yang telah selesai pembayaran hutangnya. Bagi mendapatkan geran, ibubapa mertuaku datang sambil membawa berjalan adik bongsuku yang merdeka drp SPM pada hari Rabu yang lalu. Malam selepas habis SPM, mereka berangkat ke KL dan sampai ke KL pada hari Khamis keesokannya.

Yang menjadi kisah lucunya apabila bapa mertuaku semasa membeli tiket keretapi merancang untuk bertolak pada 3 Disember dan pulang pada hujung minggunya. Semasa berurusan di kaunter tiket keretapi, beliau dimaklumkan tiket hari Sabtu, 6 haribulan dah habis.

"7 haribulan, macam mana?"
"7 haribulan, Ahad pun habis, pak aji", jawab penjaga kaunter tiket.
"8 haribulan baru ada", tambah beliau.

Tanpa berfikir panjang, "molek lah! Ambo ambik 8 haribulan" lebih kurang mcm tu lah jawab bapa mertuaku. Bapa mertuaku pulang ke rumah dengan hati lega kerana dapat membeli tiket untuk 4 orang, pergi dan balik dengan tiada sebarang masalah.

Tatkala sampai di rumah, berceritalah beliau kepada mama, panggilan untuk emak mertuaku.
"Kita balik semula ke Pasir Mas 8 haribulan malam".
Mama terus menjawab, "Papa! 8 haribulan tu Hari Raya Haji!"
"Padan lah senang je budak tiket tu jual kepada saya", jawab papa, bapa mertuaku.

Maka, tanpa dirancang, akan berayalah mereka di Shah Alam.

Aku dan isteri tergelak besar apabila diberitahu mereka sebelum berangkat ke sini.

"Maka tahun ini berayalah kita di Selangor, ye bu". Isteriku tersenyum saja.

No comments: